Header Ads


PENDIDIKAN KEKELUARGAAN WAJAR DIPERLUASKAN


Dalam dunia moden hari ini, begitu banyak kes yang melibatkan jenayah seksual seperti rogol, sumbang mahram, dan penderaan fizikal serta mental berlaku dengan pantas bahkan ia umpama virus yang merebak dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Pelbagai kes yang melibatkan pelaku ini datang dari golongan atau statusnya seperti ayah, abang dan turut melibatkan adik lelaki.
HELWA ABIM Pulau Pinang berpandangan bahawa pendidikan kekeluargaan wajar diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa mahupun agama. Pendidikan kekeluargaan ini juga boleh diberikan bermula di sekolah dengan penghayatan nilai-nilai murni dan pemantapan asas agama. Justeru itu, peranan ibu bapa sangat penting dalam sesebuah institusi kekeluargaan seperti memisahkan tempat tidur antara anak-anak dalam menjaga batas auratnya walaupun sesama ahli keluarga. Hal ini juga bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga daripada fitnah atau terbangkitnya nafsu syahwat walaupun sesama adik-beradik.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
Maksudnya: “Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”
Riwayat Imam Ahmad (6689) & Imam Abu Daud (495)
Kesan terhadap individu yang menjadi mangsa atas jenayah ini akan melalui hidup yang mencabar dan berada dalam ketakutan selain hilang keyakinan diri dan cenderung untuk bersendirian, sukar bergaul dengan rakan mahupun ahli keluarga sekali gus boleh menjejaskan kesihatan mental. Disinilah berlakunya keretakkan sebuah institusi keluarga.
HELWA ABIM Pulau Pinang menyokong tindakan seorang guru kaunseling yang berjaya membongkar rahsia seorang pelajar yang menjadi mangsa jenayah seksual oleh abang kandungnya. Isu ini perlu dibendung segera dan diambil perhatian dengan kerjasama dari semua pihak termasuk NGO, pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat/komuniti.
HELWA ABIM juga mengalu-alukan kerjasama dengan sekolah-sekolah, komuniti dan badan kerajaan untuk membantu dalam pembangunan modul pencegahan dan pendidikan yang diperkenalkan oleh ABIM berkonsepkan kesihatan reproduktif seperti modul ResQ, Tunas Dermaga, Dermaga dan STOP.
Irda Haslinda Hassan
Naib Yang di-Pertua (HELWA) ABIM Pulau Pinang

No comments

Powered by Blogger.