ABIM SOKONG USAHA PELAN PEMBANGUNAN KHAIRA UMMAH 2020-2030 KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
Bersempena dengan sambutan Awal Muharram (Maal Hijrah 1442) yang lalu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah potfolio Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam merangkap Timbalan Ketua Menteri 1, Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman membuat pelancaran Pelan Pembangunan Khaira Ummah 2020-2030 Pulau Pinang di Masjid Albukhary, Bandar Sri Pinang, Georgetown.
ABIM Pulau Pinang menyokong usaha kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan umat Islam di negeri ini. Melihat kepada konsep asas dalam pelaksanaannya yang memberi fokus kepada 5 teras utama antaranya Hikmah yang merangkumi peranan dalam pengembangan ilmu, Ekonomi (merangkumi pembangunan ekonomi Muslim), Baiti Jannati (merangkumi pembentukan keluarga Muslim), Anak Muda (usaha melahirkan generasi muda kompeten dan berwibawa) dan Tarbiyah (memperkasa institusi Masjid sebagai pusat pembangunan komuniti).
Sebagai suatu usaha melahirkan sebuah masyarakat dan umat terbaik, ABIM Pulau Pinang merasakan pelaksanaan dan pelan pembangunan Khaira Ummah ini sebagai suatu usaha murni dan wajar untuk dijadikan fokus di seluruh negara. Bukan tugas mudah untuk melaksanakannya tetapi ia bukanlah perkara yang mustahil untuk direalisasikan. Inisiatif ini dilihat sebagai usaha memperkukuh jati diri, nilai dan asas agama bagi umat Islam.
Pelan Pembangunan Khaira Ummah ini dapat dijayakan dengan keterlibatan dari semua pihak khususnya NGO Islam, agensi-agensi kerajaan mahupun jabatan, institusi pendidikan dan Masjid, serta komuniti setempat.
ABIM Pulau Pinang mengalu-alukan kerjasama erat dalam memastikan agenda ini dapat dilaksanakan dan manfaatnya kepada masyarakat. Bersama kita memperkukuh tekad, mempergiat usaha murni ini.
Muhammad Fakhrul Amiruddin Hamdan
Yang di-Pertua ABIM
Negeri Pulau Pinang
Post a Comment