Header Ads


ABIMPP Gesa Kerajaan Perketat Undang-Undang Penjualan Arak Secara Terbuka




9 Oktober 2018 | Gelugor, Pulau Pinang

Angkatan Belia Islam Malaysia Pulau Pinang (ABIMPP) memandang serius insiden seorang pembantu kedai serbaneka yang diherdik dan dimalukan oleh seorang pelanggan yang mahukan pembelian araknya diuruskan. Penghinaan ini adalah tidak wajar kerana ia sudah mengheret kepada pelecehan agama.

Arak sepertimana yang disabdakan oleh ar-Rasul SAW adalah ibu segala dosa yang menyebabkan semua yang terlibat dalam industri arak; bermula dari proses pemerahan arak hinggalah kepada yang menghidangkannya tergolong dalam mereka yang berdosa besar di sisi Allah SWT. Atas dasar ini, ABIMPP menyarankan agar pekerja-pekerja muslim menjauhi segala jenis pekerjaan yang berkaitan dengan arak. Ini diperkukuhkan lagi dengan pewartaan Majlis Fatwa Pulau Pinang bertarikh 7 April 1976 yang menyatakan : “Mengikut pandangan dan nasihat Jawatankuasa Syariah, orang-orang Islam yang membotol arak atau menjual minuman keras dan yang berkaitan dengannya adalah salah di sisi hukum Syarak.”

Justeru, ABIMPP bertegas menggesa di peringkat negeri menerusi pihak berkuasa tempatan dan di peringkat kebangsaan menerusi persidangan dewan rakyat, agar undang-undang & peraturan berkaitan penjualan arak dapat dipinda dan diperketat, agar ia terhad kepada kedai arak semata-mata dan bukannya dijual secara terbuka dan mudah diakses begitu saja di kedai serbaneka dan pasaraya. Ini tidak hanya menjejaskan komuniti muslim, hatta agama lain pun menolak arak sebagai norma kehidupan dan terbukti boleh memporak-perandakan keluarga dan masyarakat.

ABIMPP juga percaya dengan langkah ini mampu mencegah insiden pertembungan dan kesipuan yang berlaku di kaunter jualan awam tidak akan berlaku selepas ini, kerana botol-botol arak tidak lagi boleh diperolehi dengan mudah di rak-rak jualan umum.

Di dalam kesempatan ini juga, ABIMPP menyeru semua pertubuhan berasaskan agama yang pelbagai di Malaysia agar sama-sama kita tampil mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menggesa kerajaan untuk memperketatkan penjualan arak ini hanya di premis arak sahaja, demi menjaga keharmonian hidup beragama di negara ini.

SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Ketua Penerangan 
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) 
Pulau Pinang

No comments

Powered by Blogger.