Header Ads


MEMBANGUN GENERASI MERDEKA


Sempena sambutan 63 Tahun Kemerdekaan Negara, marilah sama-sama kita menghayati erti kemerdekaan sebenar selain menyingkap sejarah perjuangan dan pengorbanan pahlawan negara yang telah menggadai nyawa demi membebaskan kita dari dibelenggu penjajahan fizikal.
Besar nikmat generasi hari ini hasil usaha para pejuang terdahulu. Generasi muda harus memandang ini sebagai suatu peluang membangun potensi serta memperkukuh jati diri sebagai seorang warganegara Malaysia yang perihatin dan mengamalkan nilai-nilai murni yang termaktub dalam rukun negara
Generasi hari ini harus merdeka dalam erti kata bebas dari pelbagai bentuk penjajahan selain fizikal iaitu penjajahan pemikiran dan jiwa. Menurut Buya Hamka, ada tiga kategori merdeka yang perlu difahami dan dirungkai supaya menjadi pedoman pada generasi muda.
Pertama. Merdeka Iradah (kemahuan/cita-cita), selama mereka masih berani menyuruh, menyarankan menganjurkan dan menciptakan perkara yang ma`aruf iaitu yang meliputi perkara baik dan diterima oleh masyarakat. Itulah yang disebut “Al-amru bil maaruf” (mengajak pada yang baik).
Kedua. Merdeka pemikiran atau bebas menyatakan fikiran iaitu melarang, menahan, dan mengkritik perkara yang mungkar yang tidak dapat diterima oleh masyarakat. Inilah yang disebutkan sebagai “annahu `anil munkar” (mencegah dari yang mungkar). Tidak peduli dari siapa datangnya dan siapa yang membawanya kerana kebenaran dan keadilan itu berada di atas dan lebih tinggi nilainya.
Ketiga. Kemerdekaan jiwa atau bebas dari ketakutan/kehambaan selain Tuhan. Itulah kepercayaan dan keyakinan yang sebenar harus dimiliki oleh generasi muda. Berjuang untuk Tuhan Yang Maha Esa, sehingga jiwa menjadi kuat menentang segala cabaran yang mendatang atau mehnah yang dihadapi. Mencintai sesama manusia adalah kerana kehendak Tuhan. Mencapai keadilan sosial adalah kerana kehendak Tuhan. Kedaulatan rakyat adalah kerana amanat Tuhan, dan karena memikul tanggungjawab sebagai khalifah Tuhan. Dan Inilah asas keimanan seorang Muslim dan Mukmin yang disebutkan “Wa tu`minuna billahi” (Dan beriman kepada Allah).
Maka penghayatan makna kemerdekaan ini wajar untuk kita sama-sama menggembleng tenaga dan usaha kearah membentuk individu, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara dalam membangun kualiti generasi yang seimbang dan mapan.
Salam Kemerdekaan Ke-63 Malaysia Tanah Airku

No comments

Powered by Blogger.