Facebook

"Kamu tidak akan dpt m'capai (hakikat) kbajikan & kbaktian (yg sempurna) sblm kamu dermakan sbahagian dari apa yg kamu sayang"(Q 3:92)

Tuesday, November 25, 2008

HENTIKAN BUDAYA MENAKUT-NAKUTKAN

Malam Jumaat yang penuh kemuliaan, kerana yang mengiringinya adalah hari teragung mingguan untuk umat Islam, semakin dicemari. Dari momokan mitos, cereka layar panggung hinggalah ke kaca televisyen, sentimen malam Jumaat sering disalah ertikan. Malam barakah yang sepatutnya dihiasi dengan amal ibadah, yasin dan tahlil, tampak lebih mesra di kalangan umat Islam khususnya Melayu sebagai malam yang seram lagi menakutkan.

Di mana asalnya malam Jumaat dikaitkan dengan mitos seram dan ngeri kita masih tidak tahu apa pencetusnya. Tapi apa yang pasti, bergenerasi lamanya, mungkin datuk, nenek kita telah menjadikan cerita-cerita seram berkaitan malam Jumaat ini sebagai mekanisma untuk menakut-nakutkan kita yang nakal semasa kecil dulu. Sedar atau tidak, cerita-cerita ini semakin mengakar dalam hidup orang Melayu, hatta hendak melintas pokok besar pun masih hendak meminta izin pada ‘datuk’ yang menjaganya.

Syarikat-syarikat produksi filem yang mengeluarkan lambakan cerita-cerita ‘hantu’ dan seram kepada syarikat televisyen perdana juga meyumbang kepada budaya negatif ini. Dari cerita klasik awal ‘Pontianak’ pada tahun-tahun 50-an hinggalah kepada kisah pontianak yang ‘disirikan’ mutaakhir ini menggambarkan kepada kita akan sambutan hangat penonton kepada cerita-cerita yang mempunyai genre sedemikian. Menambahkan lagi perisa dan rencah kepada ‘penghayatan’ cerita ini, sudah tentu pastilah slotnya ditayangkan pada malam Jumaat, malam yang kononnya amat ‘misteri’ bagi penggemar-penggemar alam mistik. Amat malang sekali apabila malam yang sepatutnya diisi dengan fadhilat kebesaran hari Jumaat, siri-siri diskusi ilmiah dan slot-slot tazkirah, diganti dengan pengisian mitos dan melalaikan.

Islam tidak pernah menafikan akan kewujudan makhluk halus dan alam ghaib. Ia adalah prasyarat utama dalam rukun Iman, apatah lagi disebut dalam lembaran awal al-Qur’an sebagai seruan mengimani kewujudan Malaikat, Jin, Syurga dan Neraka yang tergolong di dalam perkara-perkara yang ghaib dan kita diperintahkan wajib mempercayai kesemuanya. Islam dari awal lagi telah meletakkan garis yang jelas untuk kita percaya akan kewujudannya dan dalam masa yang sama melarang kita takut kepadanya. Ketakutan kita yang paling hakiki hanyalah mutlak kepada Allah S.W.T. Cuma apa yang dilarang oleh Islam adalah sistem pengajaran yang menyogokkan minda kanak-kanak khususnya pelajar dengan ketakutan yang tidak berasas.

Antara Ghaib & Mistik

Minat yang mendalam kepada perkara ghaib ini jelas berlaku di kelas-kelas agama di sekolah, bila membincangkan tentang bab alam ghaib dan mahklus halus, yang menjadi perhatian pelajar adalah bagaimana rupa bentuk makhluk yang mengerikan itu (khususnya jin dan syaitan) dan bukannya kepada hal-hal yang memberitahu kenapa Allah S.W.T. menjadikan ‘mereka’ dan perihal bahawa ‘mereka’ juga wajib beriman kepadaNYA. Kecenderungan inilah juga yang dipercayai menjadi penyelesaian mudah bagi guru-guru menayangkan ‘sajak kematian’ kepada pelajar naif semuda 7 tahun di beberapa buah sekolah baru-baru ini. Pelajar-pelajar yang masih belum mampu menilai apa yang tersirat dalam mesej video ini, hanya ditakut-takutkan dengan teknik grafik yang menggambarkan mayat yang sedang dihisab dan diseksa di dalam kubur.

Kesan langsung akibat pendidikan dan rangka bina kehidupan seseorang yang selama ini diisi dengan elemen-elemen seram dan tahyul, tidak dapat tidak akan melahirkan generasi yang penakut. ‘Ketakutan buatan’ inilah yang menjadikan generasi muda kita pada hari ini seakan takut mencuba, takut gagal, takut ke depan, hatta mahu memberi cadangan pun takut juga. Generasi muda yang penakut ini, hanyalah generasi yang berani bercakap, dan bila digertak mereka akan pasti lari berantakan. Generasi muda yang penakut adalah generasi yang nampak tegap fizikalnya tetapi emosi dan spiritualnya nipis senipis kulit bawang. Generasi penakut ini telah dibiasakan dengan takut kepada cabaran dan sentiasa mahukan kemewahan dalam hidup semata-mata. Generasi inikah yang kita mahu menjadi pelapis kepimpinan kita pada masa akan datang?

Justeru, budaya memomokkan anak bangsa kita dengan ketakutan wajar dihentikan segera. Ia harus bermula dengan kesedaran ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan kasih sayang dan ketegasan dan bukannya dengan momokan ketakutan dan tahyul. Pihak Kementerian Penerangan juga wajar mengeluarkan arahan tegas agar setiap syarikat televisyen menghentikan menyiarkan tayangan berunsur seram pada setiap malam Jumaat demi menghormati hari yang mulia itu. Arahan ini penting agar timbul rasa tanggungjawab kepada pengusaha syarikat televisyen terhadap setiap satu program yang disiarkan. Tidak dinafikan ‘hit’ atau respon penonton muda terhadap rancangan-rancangan seperti ini memang tinggi, serta slot iklan di celah-celah cerita seram itu juga menyumbang kepada ‘pengayaan’ dana syarikat-syarikat televisyen gergasi negara. Sedarlah, setiap satu saat tayangan yang sarat dengan budaya negatif ini akan memberi kesan langsung kepada pembentukan akhlak generasi muda kita.


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha ABIM Pulau Pinang

Monday, November 17, 2008

TAYANGAN AMAL PERDANA : SANG MURABBI

ABIM Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang akan mengadakan sebuah tayangan amal perdana. Tayangan Amal ini mengisahkan perjalanan hidup seorang tokoh di Indonesia, Ustaz Rahmat Abdullah, yang merupakan tokoh pendakwah, muallim dan juga seorang pejuang politik dengan mewakili Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Majlis Perwakilan Rakyat (MPR) Republik Indonesia. Berikut adalah perincian program tersebut;

Tarikh : Sabtu, 6 Disember 2008
Masa : 8.00 malam
Tempat : Dewan Seri Pinang, Lebuh Light.

JEMPUT DATANG BERAMAI-RAMAI,
MASUK ADALAH PERCUMA!

Program ini turut mendapat kerjasama dari pihak Majlis Budaya Rakyat (MBR) Indonesia yang sudi berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dengan penggiat seni, pembikin filem dan drama, pengarah, penerbit dan peminat seni kreatif di Malaysia. Program ini akan dirasmikan oleh Y.B. Tuan Mohammad Fairus Khairuddin, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Justeru, ABIM Pulau Pinang berharap agar Tayangan Amal Filem "Sang Murabbi" ini mampu memberi sedikit sebanyak input dan semangat baru kepada penggerak parti politik, pendakwah, penggiat seni dan sesiapa yang berminat dengan lapangan kesenian yang islamik sifatnya. Semoga dengan kerjasama ini akan memberi anjakan kepada usaha dakwah Islamiyah di negeri ini.

Yang Melaksanakan Amanah,
SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha Negeri

KUNJUNG HORMAT MBNPP KE RUMAH TYT PULAU PINANG


Pada 13 Novermber yang lepas, Setiausaha Negeri, Syed Mikael Rizal Aidid dan Ustaz Khairun Nizam Abdul Samad telah mengikuti rombongan kunjung hormat Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP). Saudara Nizam selaku Setiausaha MBNPP dan saudara Syed Mikael selaku exco MBNPP bersama 9 orang pimpinan dan 2 petugas MBNPP telah menjayakan program tersebut. Antara harapan TYT semasa perjumpaan tersebut adalah agar NGO belia terus menjadi agen pemersatu kaum di negara ini. Kekalutan politik yang tidak menentu dan sentimen perkauman yang semakin menajam harus diredakan segera.

Barisan kepimpinan MBNPP bergambar kenang-kenangan bersama TYT Pulau Pinang


Wednesday, November 5, 2008

OBAMA & KEMENANGAN KAUM TERTINDAS

Semalam, seluruh dunia bergembira dan berkongsi satu harapan ke arah dunia yang lebih aman. Sambutan gilang gemilang dari Kenya yang mengisytiharkan cuti umum kepada rakyatnya sehinggalah ke sebuah bandar yang kebetulan namanya Obama City di Jepun, turut bersorak ke tahap menitiskan air mata kerana satu kemenangan. Kemenangan seorang pemimpin dari blok kaum yang tertindas. Inilah kali pertama dalam lembaran sejarah negara Amerika Syarikat atau negara 'polis' dunia itu, dipimpin oleh manusia berkulit hitam iaitu Senator Barrack Hussain Obama.

Obama, yang turut mencatat sejarah sebagai calon presiden kulit hitam pertama daripada Parti Demokrat, telah diisytiharkan menang setelah menumpaskan John McCain dari Parti Republikan dengan undi elektoral sebanyak 349 berbanding 162. Banyak benar komentar yang kita dengar dan terima dari pelbagai sumber yang agak berwibawa. Banyak juga persoalan mandatori yang dunia mahu tahu jawapannya dari Obama, antaranya; dasar AS di Iraq, isu pembantaian umat Islam di Iraq dan Palestin, hubungan AS dengan Iran dan Korea Utara, isu penahanan ‘teroris’ di Teluk Guantanamo, isu dunia yang bebas ancaman nuklear serta pakej rangsangan ekonomi baru untuk merawat ekonomi dunia, dan banyak lagi jawapan yang kita berhak tahu. Apapun jawapan Obama, kita selaku rakyat yang berada di dalam negara yang selalu memperjuangkan hak-hak asasi kaum minoriti dan tertindas, seharusnya berasa bangga kerana kemenangan Obama berjaya menumbangkan keegoan sekelompok manusia yang merasakan mereka sentiasa mulia dan paling pintar di atas muka bumi ini. Mereka yang merasakan hanya merekalah yang paling betul dalam apa juga tindakan dan yang lain jangan melawan dan hanya perlu akur setiap masa.

Untuk menamatkan imej hagemoni penguasaan Amerika yang berkuasa sewenang-wenangnya kepada penduduk dunia selama 232 tahun itu, bukan mudah. Cabarannya menggunung bagi Obama. Untuk Obama mewarisi, mendiami dan memimpin lambang kepimpinan dunia dengan lancar di White House dari kepimpinan Bush yang kritikal, telah memaksa beliau melancarkan kempen pemulihan imej Amerika di mata dunia dengan kadar yang segera. Imej pusat pentadbiran itu yang selama ini dilatari dengan label-label korup, penindasan dan egois harus dikikis serta-merta oleh Obama.

Islam & Harapan

Obama, sejak kempen Pilihanraya Presiden dilancarkan tidak dapat lari dari sentimen yang mengaitkan dirinya dengan Islam. Namun, di sebalik kemenangan ini, adakah sentimen Islam mendapat ruang yang sewajarnya di hati Obama? Jika sekadar bergantung kepada ayahnya seorang Islam, dan dia pernah dibesarkan di Indonesia dalam suasana majoritinya masyarakat Islam, ini bagi kita, mungkin belum cukup meyakinkan. Adakah Obama mampu membuktikan wajah baru pemimpin Amerika, daripada berperangai rakus, bongkak dan zalim kepada pemimpin yang merendah diri, diplomatik, berjiwa besar dan adil? Kita perlu optimis dan mendoakan yang terbaik agar ALLAH menunjukkan hidayah kepada beliau , insya ALLAH.

Semoga dengan perjuangan manifesto beliau, 'Change We Need' (Perubahan Yang Kita Perlukan), dan juga didokongi dengan beberapa faktor asasi Islam yang ada pada dirinya seperti dia sendiri memiliki darah manusia yang selalu ditindas dan dizalimi, ayahnya seorang Islam, pernah dibesarkan dalam suasana Islam, dan tegas demi perjuangan mempertahan dan memperjuang hak-hak kaum minoriti, kita yakin, ini semua akan jadi pintu hidayah untuk beliau menjadi pemimpin yang tahu derita rakyat, pemimpin yang arif dalam mengagih-agihkan kekayaan negara seadilnya kepada rakyat, pemimpin yang membela rakyat dunia yang tertindas, dan akhirnya tidak ada yang mustahil, bukan sahaja Obama merupakan Presiden Amerika berkulit hitam yang pertama, tapi insya ALLAH juga dengan izinNYA, sebagai Presiden Amerika beragama Islam yang pertama.


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha ABIM Pulau Pinang

Google+ Followers

Popular Posts


SYARAT : TERBUKA UNTUK BELIA UMUR 15-40 TAHUN | TINGGAL DI P. PINANG | BERMINAT | BERDEDIKASI & BERKEYAKINAN :: KELEBIHAN KELAB : LATIHAN, BIMBINGAN, SIJIL & VEST PETUGAS AKAN DIBERI SECARA PERCUMA :: BERMINAT ? SILA HUBUNGI PENYELARAS AV, SDR. ZAYD 013-408 7001