Facebook

"Kamu tidak akan dpt m'capai (hakikat) kbajikan & kbaktian (yg sempurna) sblm kamu dermakan sbahagian dari apa yg kamu sayang"(Q 3:92)

Monday, September 1, 2014

UCAPAN DASAR YDP ABIM NEGERI PULAU PINANG 2014

UCAPAN DASAR
YANG DIPERTUA ABIM NEGERI PULAU PINANG
SEMPENA MUKTAMAR SANAWI ABIM NEGEI PULAU PINANG
KALI KE-41
1 SEPTEMBER 2014 (ISNIN), 10.00 PAGI, SEKRETARIAT ABIM NEGERI GELUGOR


BELIA ISLAM - MENDEPANI KEBANGKITAN UMAT

1)  Segala puji bagi Allah Tuhan Pemilik hati-hati manusia, di atas kehendak-Mu jua hati-hati ini bersatu, dan atas kehendak-Mu jua hati-hati ini dibalikkan. Selawat dan Salam buat kekasih hati, penghulu segala makhluk, pedoman sepanjang jalan, Nabi Muhammad SAW serta seluruh keluarga Baginda, para sahabat dan yang mengikuti jalan mereka sehingga ke hari Kiamat. Ya Allah, jadikanlah kami di kalangan mereka yang mengikut jalan yang benar dan kekalkanlah kami di atasnya. Amin.




2)  Alhamdulillah pada hari ni, kita diberi kesempatan berhimpun bagi menjayakan agenda tahunan Muktamar ABIM Negeri Pulau Pinang kali ke-41. Dalam tempoh lebih 4 dekad ini, ABIM terus istiqamah mengorak langkah menjayakan motonya “Membina & Memipin Tamadun Khaira Ummah”. Sebagai generasi pelapis, sayugia kita memahami, merasai dan menghayati liku-liku perjuangan yang telah dilalui oleh ABIM sejak sekian lama agar rentak perjuangan itu terus diperhebatkan. Mengenali sejarah itu penting sebagai teladan perjuangan namun dalam masa yang sama sejarah mengajar kita membaca suasana semasa dengan lebih tuntas. Yang tidak kurang penting juga ialah kita memberikan penghargaan sewajarnya dengan terus komited bersama wadah yang dicintai ini. Tanda penghargaan kita buat generasi awwalin membawa kita kepada persoalan kesinambungan harakiah yang wajar difikirkan bersama sesuai dengan suasana semasa agar mekarnya terus mengharum dan membekas dalam pentas dakwah Islam. 

3) Ketahuilah bahawa gerakan kita bermula dengan hasrat yang murni untuk menegakkan syiar Allah. Maka itu, gerakan ini mendokong tauhid kepada Allah SWT sebagai asas tindakan dan kefahaman supaya niat kita terpimpin daripada segala bentuk hasrat yang tersasar daripada matlamatnya yang asal iaitu mencapai mardhatiLlah.. Asas aqidah yang jelas mampu menanamkan keyakinan yang tinggi dalam usaha mencabar segala suasana yang kompleks apatah lagi yang bercanggah daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Daripada wajah kebatilan yang jelas kepadalah anasir-anasir kemunafikan yang tersembunyi, cabaran-cabaran ini seharusnya ditangani dengan sebaik mungkin agar kita tidak ikut hanyut dalam kesesatannya sementara umat terus diberi peringatan. Itulah cabaran dakwah, mesejnya jelas namun ‘seni’ serta pendekatannya menjadi pengukur kepada kejayaan dakwah itu sendiri.

4)  Siapakah yang lebih baik perkataan melainkan orang yang menyeru kepada Allah serta pekerjaan yang terbaik? Dalam rangka kemajmukan kaum dan agama, banyak lagi tugas yang perlu kita tekuni dalam memperhebatkan usaha dakwah. Dakwah yang kita serukan bukan sekadar dengan ucapan dan tulisan, tetapi secara praktis mempamerkan keindahan Islam melalui komunikasi berkesan serta penglibatan aktif bersama masyarakat. Islam yang diajar oleh Nabi SAW tidak sekadar kaku dalam kelompok bahasa, bangsa dan budaya sesuatu kaum, tetapi mengambil kira adaptasi kita terhadap perbezaan agama dan warna kulit. Variasi kehidupan di Malaysia sepatutnya menjadikan kita lebih ummatik, buta bangsa dan kaya bahasa. Adaptasi seperti ini telah pun mengambil tempat dalam sejarah Islam di Negara kita apabila kelompok peniaga Arab dan India yang turut menjalankan usaha dakwah mengambil pendekatan di’Melayu’kan supaya mereka mampu berdakwah dengan lebih berkesan. Oleh yang demikian, para pendakwah di Negara ini mestilah menguasai skil-skil seperti ini terutama melibatkan rentas budaya dan bahasa.    

5) Kesantunan akhlak sentiasa menjadi dambaan sesiapa pun untuk menjadi teman yang setia. Akhlak Nabi SAW yang mulia menjadi jambatan bagi sesiapa yang ingin mengenal Islam secara lebih mendalam. Saat ini, imej Islam terus dikaitkan dengan akhlak umatnya yang serba serbi. Secara dakwahnya, orang melihat cerminan imej yang kurang baik terhadap Islam seterusnya menyebabkan orang menjauhkan diri daripada Islam. Oleh itu saudara melalui gerakan ini kita mestilah memperkayakan kembali nilai-nilai universal akhlak Islam sama ada sesama ahli gerakan dan masyarakat melalui daya integriti yang tinggi, komunikasi yang berhemah, disiplin yang terpimpin, sistem sokongan yang berterusan - bantu-membantu ke arah pembaikan diri serta bahu-membahu membina imej Islam yang lebih baik. 

6) Imej yang baik pastinya datang dari landasan ilmu yang baik. Mencorak keteladanan Islam memerlukan landasan ilmu yang jelas supaya tindak tanduk dan tingkah laku kita benar-benar terpelihara daripada kejahilan. Ini kerana konsep kehidupan sebagai ibadah memerlukan input yang sahih supaya ibadah juga menjadi sahih. Intepretasi terhadap suasana dan tindakan juga sangat memerlukan landasan ilmu yang benar supaya ianya menjadi ibadah. Selaku pendokong dakwah, kita tidak boleh lari daripada dua petunjuk utama iaitu al-Quran dan al-Hadith. Kedua-dua perkara ini perlu mengalir dalam saluran darah kita dan sebati dengan darah daging kita. Jika tidak, kita sering dikelirukan dengan tipu daya serta makar yang tiada hentinya diusahakan oleh musuh-musuh agama. Dalam era penyebaran maklumat ini, dakwah melalui media dilihat berkesan dalam menanamkan kefahaman agama yang betul supaya Islam tidak disalah ertikan. Kita sangat mengesali tindakan golongan-golongan pelampau yang cuba menterjemahkan Islam secara songsang dan pada konteksnya yang terkeluar daripada landasan Islam. Melalui pengupayaan maqasid syariah, kita berharap Islam dapat ditonjolkan secara sederhana, sahih dan mudah diterima. Ini membawa kita kepada satu lagi agen perubahan dakwah yang besar iaitu pendidikan umat.

7) Pendidikan sentiasa menjadi agenda terpenting gerakan ini. Ini berkait rapat dengan pembinaan generasi yang mana tidak lari dari proses pendidikan. Suatu ketika dulu, keprihatinan tentang pendidikan Islam telah membangkitkan usaha di kalangan penggerak ABIM untuk mewujudkan sistem pendidikan berteraskan Islam. Bermula dengan Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI), anak-anak berumur 4 tahun mula mengenali Islam, menghafal surah-surah dan doa serta adab hidup seharian. Sejak itu, sistem pendidikan ABIM terus berkembang mengikut peringkat umur. Kita melihat krisis anak muda kini banyak berkait rapat dengan tahap pendidikan agama di peringkat awal. Ini ditambah lagi dengan kurangnya pendidikan iman dan amal pada peringkat umur remaja yang akhirnya mengheret mereka kepada trend semasa yang merosakkan jatidiri mereka. Sayugia, perjuangan ke arah perubahan melalui pendidikan Islam sangatlah penting. Dalam masa yang sama, pendidikan masa kini haruslah juga mengambil pendekatan kepelbagaian agar bersesuaian dengan cita rasa semasa. Alhamdulillah, TASKI terus menyumbang di dalam menyuburkan tarbiyyah awladiyyah di bumi bertuah ini. Selaku generasi penerus, apresiasi terhadap usaha-usaha ini perlulah ditonjolkan. Institusi pendidikan ABIM pada hari ini memerlukan pewaris bagi mengembangkan potensinya. Oleh yang demikian marilah sama-sama kita membantu mempertingkatkan mutu & kualiti institusi pendidikan ABIM ke satu tahap yang lebih ummatik.

8) Institusi keluarga adalah penyumbang utama kepada pembinaan generasi Islam yang utuh dan berdaya maju. Namun, krisis ekonomi semasa serta perubahan gaya hidup telah mengheret institusi kekeluargaan kepada cabaran yang lebih kompleks. Sekiranya dulu peranan suami lebih dilihat sebagai pemimpin dan pencari rezeki, sekarang suami lebih menonjol sebagai rakan kongsi. Sekiranya suatu ketika dulu seorang ibu sentiasa bersama anaknya sepanjang masa, kini anak-anak tidak lagi mengecapi nikmat keibuan yang selayaknya. Suami dan isteri kebanyakannya bersama-sama terlibat dalam dunia pekerjaan. Selaku ahli gerakan, isu rumah tangga sentiasa menjadi perhatian apatah lagi tenaga penggerak kita terdiri daripada suami isteri muda beserta anak-anak kecil. Oleh itu, kita berharap aktiviti jamaah kita juga meraikan penglibatan keluarga supaya nilai kebersamaan itu wujud dan rasa tanggungjawab dapat dipelihara. Dalam pada itu, aktiviti gerakan juga perlulah dilihat usrah-friendly supaya mampu mendepani segala karenah anak-anak dan memuaskan hati semua ahli. Melalui cara ini kita juga berharap keluarga kita diberi perlindungan oleh Allah SWT daripada anasir-anasir negatif dan menyatukan pemikiran kita.

9) Kekeliruan dan pertembungan pemikiran semasa telah mengheret kita ke satu lautan merah yang mampu menggoncangkan kesatuan kita umat Islam seluruhnya. Ini ditambah lagi dengan kebebasan media yang dipergunakan sebaiknya oleh golongan adu domba bagi menores luka-luka lama yang masih berdarah. Selaku umat yang terpilih, kita diajar bersaudara dan memperelokkan persaudaraan. Dalam konteks ini, adab serta akhlak persaudaraan perlulah kita buktikan supaya tidak dipandang rendah oleh pihak lain. Sesungguhnya nilai persaudaraanlah yang mengikat konsensus kita selama ini. Hak-hak saudara kita perlulah dijaga dan dibela agar kita tidak dilihat membiarkan maruah kita ditelanjangkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, seandainya ‘orang dalam’ sekalipun yang bertujuan merosakkan hubungan persaudaraan sesama Islam, kita wajiblah membelanya supaya kebatilan usaha mereka ini dapat dihapuskan. 

10) Manusia diciptakan dengan kemuliaan selaku sebaik-baik ciptaan. Oleh itu, Allah juga telah menetapkan tanda aras perhubungan antara manusia yang menjadi pelindung daripada unsur-unsur kezaliman dan penindasan. Setiap insan tak kira latar belakangnya sebenarnya berpotensi menjadi hamba yang beriman selagi mana belum sampai ajalnya. Selaku penggerak dakwah, kehormatan terhadap penganut agama lain perlulah dipelihara juga supaya tidak berlaku hina-menghina, hasut-menghasut di dalam masyarakat kita. Selaku umat Islam, sifat kebangsaan kaum perlulah direndahkan supaya setiap orang di antara kita diberi peluang untuk mendengar seruan hidayah Allah. Sikap terlalu memandang negatif ke arah bangsa lain sebenarnya tidak memberi apa-apa manfaat kepada kita selain membawa kepada perpecahan kaum. Oleh itu, marilah kita jadikan Islam sebagai jambatan perpaduan antara kaum sebagaimana sejarah Islam telah membuktikannya di Turki dan Andalusia.

11) Misi umat belum berakhir selama mana dunia Islam terus dibelenggu oleh kuasa yang menzalimi rakyat. Krisis dunia Islam mengajar kita bahawa kuasa-kuasa yang tamak akan terus-menerus menggunakan pelbagai penindasan bagi mencapai cita-cita keduniaan mereka. Selaku umat yang satu, penderitaan yang dilalui oleh umat Islam di mana sahaja mereka berada adalah termasuk “urusan rumah tangga” kita. Oleh itu, sokongan terhadap program-program kesedaran, bantuan kemanusiaan serta apa-apa bentuk sokongan perlulah diteruskan. Dalam masa yang sama, pemimpin dunia Islam perlu mencatur perubahan serta berusaha mempertingkatkan sistem pertahanan berteraskan agama yang lebih meyakinkan umat. Kepada Allah jualah kita memohon taufik dan hidayah. Semoga dengan paradigma yang betul, perancangan yang teratur serta amalan yang berterusan, Allah akan mengurniakan kemenangan kepada umat Islam      

12) Gerakan yang terhormat sentiasa dilihat kemas dan tersusun dari segi organisasinya. Organisasi bermula dengan kesatuan fikrah dan amal. Kesatuan fikrahlah yang melahirkan watak-watak yang sedia berkorban harta dan jiwa serta bersedia mengerah fikiran dan perasaan ke arah kesinambungan gerakan. Melalui ahli gerakan ini, segala perancangan dapat dilaksanakan dengan sempurna dan proses pembaikan berlaku secara berterusan. Kita berharap ahli gerakan ini terus bersatu hati memastikan amalan pengurusan yang terbaik agar jamaah sentiasa mendepani cabaran semasa. 

13) Masa berubah, suasana bertukar wajah. Hari demi hari pelbagai cabaran bertambah. Bagi yang masih menghargai perjuangan dalam wadah mulia ini, teruskan istiqamah anda semoga anda beroleh keyakinan dan kematangan yang berterusan. Kemenangan adalah milik Allah namun usaha yang terbaik belum pasti kita telah melakukannya. Hargai masa-masa kebeliaan ini dengan mendalami sebanyak mungkin disiplin harakiah. Disiplin ini memerlukan jiwa-jiwa yang kombatif, sedia mendepani cabaran dan sentiasa mencabar diri untuk melakukan yang terbaik. Ruang-ruang pembaikan masih banyak untuk kita terokai bersama. Oleh itu, marilah kita menetapkan pendirian kita untuk istiqamah dalam perjuangan murni ini.



No comments:

Google+ Followers

Popular Posts


SYARAT : TERBUKA UNTUK BELIA UMUR 15-40 TAHUN | TINGGAL DI P. PINANG | BERMINAT | BERDEDIKASI & BERKEYAKINAN :: KELEBIHAN KELAB : LATIHAN, BIMBINGAN, SIJIL & VEST PETUGAS AKAN DIBERI SECARA PERCUMA :: BERMINAT ? SILA HUBUNGI PENYELARAS AV, SDR. ZAYD 013-408 7001