Facebook

"Kamu tidak akan dpt m'capai (hakikat) kbajikan & kbaktian (yg sempurna) sblm kamu dermakan sbahagian dari apa yg kamu sayang"(Q 3:92)

Thursday, December 25, 2008

USRAH SEBAGAI PEMANGKIN BUDAYA GERAKAN

Tamrin Nuqaba’ Kebangsaan ABIM yang diadakan baru-baru ini di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menatijahkan satu gerakan kesedaran yang amat serius, betapa usrah perlu dibawa dan diletakkan ke ‘center stage’ semula atau menjadi awlawiyat di dalam gerakan, jika kita mahu ABIM terus wujud dan relevan buat umat pada hari ini. Program ini telah menyaksikan pelbagai pelan pemerkasaan usrah di semua peringkat telah dirancang, merangkumi usaha menghidupkan usrah-usrah unit yang telah lama ‘mati’, meneroka peluang usrah-usrah baru, mengkreatifkan pendekatan usrah dan mendalami akan keberkesanan silibus usrah ABIM. Apa pun yang dirancang, tumpuan dan fokus yang harus dihalakan kepada semua pimpinan, para nuqaba’ bahawa pada hari ini adalah; Ayuh! Mari kita mula bercakap tentang usrah, komited pada usrah, menghargai usrah dan sedar impak yang boleh usrah bawakan pada umat seluruhnya.

Usrah, yang selama ini sinonim dengan majlis ilmu, majlis ukhuwwah dan majlis pertemuan berkala di kalangan penggerak ABIM wajar diangkat maknanya ke aras yang lebih tinggi. Kegagalan melihat impak dan gagasan yang boleh ‘dilancarkan’ menerusi usrah, bakal menjadikan usrah itu hambar, satu hala, terlalu longgar dan apa yang lebih teruk, tempias dari fenomena ini akan melembabkan gerakan kita secara total. Kejadian ‘kematian’ daerah-daerah ABIM yang acapkali kita dengar di seluruh tanahair tidak dapat dinafikan berpunca daripada tiadanya usrah yang menjadi lambang kewujudan ABIM.

Ada apa dengan usrah, sehingga ia diberi jolokan ‘tulang belakang’ gerakan? Jawapannya sudah pasti tidak terletak pada teknikalnya sesuatu usrah itu, seperti tempat, jamuan, kitab apa nak baca, semua pimpinan wajib hadir, dan bermacam-macam lagi ‘ritual’ yang kita sibukkan mengenainya. Namun, di sebalik kealpaan kita memenuhi kelengkapan perjalanan sesebuah usrah itu, kita sering lupa, usrah itu wajar ‘dihidupkan’ dengan tiupan ruh semangat gerakan, ruh yang kian hilang pada saat ini. Manifestasi semangat usrah ini, sebenarnya ada pada dustur budaya ABIM yang selama ini kita hafal, hayati dan seminarkan. Inilah budaya ABIM, budaya gerakan, budaya yang dengan izinNYA, lahir angkatan pendakwah yang didambakan oleh umat selama ini.

Usrah tidak boleh sekali-kali ‘disassociate’ atau terpisah dengan asas budaya gerakan yang kita telah gagaskan selama ini. Budaya ABIM adalah kefahaman beriringan yang wajib dibudayakan di dalam usrah. Program jamaah apa lagi yang kita harapkan untuk memperkasakan dan mengembalikan izzah gerakan ini, kalau bukan usrah, satu program yang intim & holistik sifatnya serta mampu menjadi pencetus kepada idea-idea besar yang mampu diterjemah kepada gelombang untuk merubah nasib umat. Budaya ABIM, sebenarnya tanpa sedar telah lama hadir di dalam usrah kita, cuma tinggal lagi kita memberi peneguhan dan komitmen menjayakannya. Insya ALLAH, jika kita komited, andai semua 5 budaya ini ada dalam usrah kita, ALLAH pasti akan perteguhkan semula hati-hati kita, ke arah menjayakan perjuangan ini.

Kesedaran akan saling kaitan di antara usrah dan budaya gerakan ini telah dicetuskan di dalam sebuah pertemuan pimpinan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan mantan Presiden ABIM, Tuan Haji Ahmad Azam, di mana penulis pada waktu itu adalah merupakan Timbalan Presiden PKPIM, merangkap Pengerusi Majlis Tarbiyah PKPIM. Idea yang dilontarkan oleh beliau pada waktu itu amat diperlukan oleh kami, para pelajar dalam meneguhkan identiti kami sebagai ahli gerakan, menerusi institusi usrah. Menurut gagasan idea Tuan Haji Ahmad Azam dan sedikit dokongan dari penulis, berikut adalah susunan, atau maratib yang perlu ada dalam memastikan usrah menjadi pemangkin budaya ABIM. Berikut adalah 5 Mim di dalam menjayakan usrah;

MIM 1 : MUROQABAH :: Menghayati Amalan Kerohanian

Walaupun budaya ini dalam tertib budaya ABIM berada di tangga kedua, namun di dalam usrah, ini agenda terbesar dan perlu dikedepankan. Menerusi Muroqabah, usrah seharusnya dimulakan dengan merapatkan diri kepada ALLAH S.W.T. Usrah yang terbaik adalah usrah yang dimulakan dengan solat berjamaah. Adakah sama usrah yang terus dimulakan tanpa solat berjamaah, sama dengan yang sebaliknya? Sudah pasti tidak. Usrah yang dimulakan dengan Solat Maghrib berjamaah adalah yang terbaik, kerana dengannya terbukti, hati-hati ahli usrah akan terikat. Kajian saintifik juga telah membuktikan solat berjamaah mampu memusatkan pemikiran, tenaga dan kasih sayang setiap ahli jamaah, sehinggakan kesemua rasa susah, senang di kalangan ahli usrah akan dikongsi bersama. Solat jamaah juga boleh bertindak sebagai ‘zon ketenangan’ atau zon untuk para berjuang kembali berkumpul, berkongsi kekuatan dan semangat daripada asakan dunia dan musuh yang tak henti-henti kunjung tiba.

Ada juga yang memilih untuk usrah dimulakan dengan iftar jamaiy, atau majlis berbuka puasa. Ini juga satu ‘entri’ kerahmatan ALLAH yang amat besar. Dengan komitmen berpuasa bersama-sama yang telah disyiarkan oleh naqib, contoh terbaik adalah pada hari Isnin dan Khamis, semua ahli usrah akan berkongsi kepayahan berpuasa, menahan diri bersama dan kemudiannya berbuka puasa dengan jamuan yang sekadarnya. Doa berbuka puasa juga boleh disulam dengan pengharapan agar ALLAH memperkukuh kembali ukhuwwah yang longgar dan memperbaharui ruh perjuangan.

Setelah selesai solat Maghrib berjamaah, bacaan al-Ma’thurat wajar mengambil tempat. Walaupun waktu bacaan yang paling awla untuk Ma’thurat adalah selepas solat Subuh dan ‘Asar, namun atas kekangan masa, selepas solat Maghrib juga adalah amat digalakkan. Jika mampu bawa Ma’thurat Kubra bersama-sama, silakan. Tapi jangan sampai Ma’thurat Sughra pun diambil enteng, hingga menjadi ‘Ma’thurat Segera’, satu jenis ma’thurat yang tergopoh-gapah, sehingga akhirnya tiada lagi budaya membaca Ma’thurat. Impak Ma’thurat jika kita amati dengan teliti, membawa kesan yang mendalam pada jiwa gerakan.


Dimulakan dengan gugusan ayat-ayat perjuangan, salawat dan pujian ke atas Rasulullah S.A.W., rantaian doa-doa munajat, doa penyucian jiwa dan ditutup dengan doa robitah, satu doa yang mampu mengikat sekukuh-kukuhnya hati sesama ahli usrah. Justeru, andai usrah ini adalah umpama hati gerakan, Ma’thurat pula adalah umpama hati usrah. Laksanakanlah sepenuh hati.

MIM 2 : MUNAQASHAH :: Menghayati Budaya Ilmu

Kenapa dipilih ‘menghayati’ dan tidak mempelajari ilmu? Jawapannya terletak kepada tuntutan agar ilmu-ilmu yang kita dapat daripada madrasah ABIM atau di luar radiusnya, tidak sekadar merupakan ilmu tanpa amal, ilmu tanpa yakin dan ilmu tanpa ruh, tetapi merupakan ilmu yang ‘hayat’ atau hidup hatta sampai ke dalam setiap pembuluh darah dan ruangan jiwa. Inilah garis besar yang membedakan kita dengan gerakan Islam lain. Ya, benar, gerakan lain ada juga penegasannya tentang ilmu, tetapi dalam ABIM, kedudukan ilmu ini amat tinggi kedudukannya, sehinggakan apa jua justifikasi tindakan wajib berlandaskan ilmu yang ditunjangi al-Quran dan Hadith, dan bukan dilatari dengan emosi, fahaman politik sempit dan pertimbangan kepuakan yang melulu.

Usrah yang sudah dimulakan dengan Muroqabah, wajar disambut dengan Munaqashah, iaitu agenda ‘mencanai’ ilmu dan bukannya ‘mempelajari’ ilmu. Tidak sekadar dihadkan kepada tafsiran ayat-ayat yang tipikal, pembacaan hadith dengan gaya klasik, ruh ilmu di dalam usrah juga perlu ‘dihadirkan’ dengan cara dan penyampaian ilmu yang baru dan menarik. Isinya masih sama seperti perbincangan Tafsir, Hadith, Sirah, Tasawwuf, Tauhid dan sebagainya, cuma cara ia disampaikan menarik, penuh komitmen, bertenaga dan yang terpenting ada kaitan dengan realiti kontemporari. Natijahnya, ahli usrah pun terlonjak semangatnya untuk terus menekuni dan menjiwai ilmu-ilmu yang disampaikan di dalam usrah. Pokoknya, ilmu di dalam usrah amat memerlukan agenda ‘re-branding’ untuk meraikan idealisme generasi muda yang sentiasa mahukan pembaharuan pada hari ini. Dalam kata lain, isi (content) ilmu di dalam usrah harus diperteguhkan, manakala dalam masa yang sama cara penyampainnya (delivery) juga harus menarik!

MIM 3 : MUSYAWWARAH :: Menghayati Amalan Shura dan Amal Jama’iyy

Setelah sempurna slot dan agenda keilmuan di dalam usrah, ia tidak boleh tidak, perlu dimasukkan dengan budaya menghayati amalan syura. Di sinilah terletaknya medan interaktif terbaik antara setiap ahli usrah. Sifat majlis syura yang sebenar yang lebih menjurus kepada perbincangan aras tinggi mengenai isu-isu ‘vital’ jamaah, juga boleh dibudayakan di dalam usrah. Perbincangan akan pemantapan gerakan boleh diadakan di dalamnya. Benar, ada mesyuarat exco atau jawatankuasa ABIM yang boleh membincangkan pelbagai program.

Tapi, lain dengan usrah, ia adalah landasan ‘pencetus’ atau ‘the ignition platform’ kepada setiap program besar gerakan. Adalah menjadi harapan, sekiranya usrah menjadi pencetus, dan dengan semangat amal jamai’yy, menjadikan setiap idea yang tercetus, akan didokong dan terkandung di dalamnya ikrar untuk sama-sama menjayakan apa juga perancangan. Prinsip sama-sama bangun dan jatuh akan diasah di dalam usrah itu sendiri, yang pasti akan mempersiap setiap ahli usrah agar tabah dengan asakan dunia di luar usrah.

MIM 4 : MUHASABAH :: Memahami dan Melibatkan Diri pada Isu Semasa

Usrah seumpama tergantung andai tidak diselangi dengan agenda Mim ke-4, iaitu Muhasabah. Ini adalah persiapan terpenting yang perlu ada pada setiap ahli usrah sebelum beraksi di medan dakwah, kerana dengannya kita akan tahu, sedar dan sedia terhadap mana-mana realiti di luar sana. Slot perkongsian isu-isu semasa yang terkini tidak wajar hanya berlegar-legar di makalah dan akhbar berkala ABIM, laman web dan blog-blog ABIM, e-mel dan surat khabar arus perdana semata-mata.

Usrah perlu jadi ‘one-stop shop’ untuk menjadi ruang perkongsian ‘berita yang punya nilai’ untuk kita. Berita-berita dan perkembangan perlu merangkumi radius tempatan dan antarabangsa. Setiap berita yang dikongsikan juga perlu disaring agar memberi agenda bertindak dan bukan hanya agenda untuk sekadar tahu. Ini akan menjadikan setiap ahli usrah ‘alert & well prepared’ , sebelum menyampaikan saran-saran dakwah.

MIM 5 : MUJAHADAH :: Menghayati Ruhul Jihad Fisabilillah

Di antara semua budaya, budaya Mujahadah dipilih untuk menduduki tempat kesempurnaan tertinggi di dalam gerakan. Kita diminta agar memberi yang terbaik untuk Islam, dan bukannya sisa-sisa daripada kita untuk Islam. Allahyarham Ustaz Niamat Yusof pernah berkata; “ Andai kamu beri separuh masa kamu pada Islam, akan lahirlah Islam itu Islam Separuh, tetapi jika kamu memberikan seluruh masa kamu untuk Islam, akan lahirlah Islam itu, Islam Sempurna”.

Faham jihad yang dilatari dengan mesej bersungguh-sungguh untuk agama, wajar diarus-perdanakan dalam gerakan kita. Jiwa bersungguh-sungguh berkorban pada agama ini juga sebenarnya yang mahu kita tanam di dalam setiap penghujung usrah ABIM. Peranan naqib memberi kata-kata semangat dan titipan kepritahinan pada waktu penutup setiap usrah inilah, yang seringkali dilihat menjadi ‘decisive factor’ atau faktor penentu yang bakal menegapkan komitmen dan keazaman setiap ahli usrah untuk hadir ke usrah seterusnya, dan bukannya rasa terbeban dengan pelbagai masalah dunia untuk menghadirinya.

Usrah yang punya ruh jihad fi-sabilillah ini juga, harus ditutup dengan doa yang masyhur di kalangan pendokong ABIM, iaitu doa Robitah. Doa yang dibacakan oleh naqib dan diaminkan oleh setiap ahli usrah ini, mampu jadi ikrar untuk terus sama-sama berjuang, dalam masa senang, masa susah, hatta komitmen itu dibawa ke tahap mati bersama-sama di dalam jalan yang mulia ini!

Khulasah

Kata pengikat terakhir adalah, usrah dan jamaah itu amat saling berkaitan dan apa yang memberi kekuatan pada usrah juga akan memberi kekuatan kepada jamaah dan sebaliknya. Justeru, jika kita mahu generasi ABIM akan datang terus berada dekat dengan hati umat, tiada kompromi lagi, budaya ABIM yang membina jiwa-jiwa pendakwah kita selama ini perlu diserap ke dalam usrah, agar usrah bukan sahaja jadi majlis ilmu dan ukhuwwah semata-mata, tapi usrah adalah sesuatu perkumpulan manusia yang mampu memberi perubahan dan terus dirahmati dalam agenda mengangkat martabat ummah!

“Dengan Muroqabah,
...hati bersatu mengingat ALLAH’
Dengan Munaqashah,
...ilmu dicanai memperkasa fikrah,
Dengan Musyawwarah,
...amal jamaiy meneguhkan khittah,
Dengan Muhasabah,
...kita siap siaga mempeduli ummah,
Dan dengan Mujahadah,
...kita akan turun berjuang mempertahankan Aqidah!"




SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha ABIM Pulau Pinang

Monday, December 22, 2008

TERKINI : ABIM BANTAH SWASTA IJN

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sebagai sebuah institusi rakyat yang prihatin, membantah keras cadangan menswastakan Institut Jantung Negara (IJN) kepada Sime Darby Sdn. Bhd. IJN merupakan satu-satunya pusat perubatan pesakit jantung di negara ini yang menawarkan perkhidmatan yang bermutu dengan kadar bayaran yang berpatutan. Penswastaan IJN yang bermotifkan keuntungan komersial dikhuatiri akan meningkatkan kos rawatan yang seterusnya membebankan pesakit. ABIM menegaskan bahawa perkhidmatan kesihatan adalah berteraskan keperluan umum atau public need yang sepatutnya disediakan oleh kerajaan secara percuma atau pada kadar yang berpatutan.

Penswastaan IJN kepada sebuah syarikat swasta yang tak dapat tidak bermotifkan perniagaan sudah tentu boleh menyebabkan tanggungjawab sosial ini tidak dilaksanakan dengan berkesan, malah menafikan hak rakyat untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang bermutu dengan kos yang berpatutan. ABIM menegaskan bahawa sebarang usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu mengambilkira faktor tanggungjawab sosial kerajaan kepada rakyat. Sehubungan dengan itu, ABIM menggesa kerajaan agar tidak hanya menangguhkan penswastaan IJN sepertimana yang diputuskan oleh kabinet Jumaat lalu, tetapi membatalkan terus hasrat tersebut.

"MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN"
YUSRI MOHAMAD
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Saturday, December 6, 2008

SALAM EID ADHA 1429 HIJRAH DARI SELURUH WARGA ABIMPP

Seluruh Warga ABIMPP ingin menjemput Saudara/Saudari ke
Majlis Qurban anjuran bersama Madrasah Uthmaniah ABIM.
Berikut adalah maklumat program tersebut;
TARIKH
Rabu, 10 Disember 2008 bersamaan 12 Zulhijjah 1429 Hijrah (Raya Ke-3)
TEMPAT & MASA
Bermula dari jam 7.00 hingga 9.00 pagi
Masjid Jamek Sg. Gelugor
(Muslimin : Kerja melapah dan mengagihkan daging qurban)
Bermula 8.00 pagi hingga Zuhur
Madrasah Uthmaniah
(Muslimat : menyediakan kelengkapan dan memasak lauk)
*Jamuan dan solat Zuhur berjamaah akan diadakan
di Madrasah Uthmaniah ABIM beralamat di
No. 2157, Tingkat Sg, Gelugor 8, Gelugor
Datanglah beramai-ramai dan meriahkanlah
hari raya Qurban ini dengan budaya berkorban!
-Salam Eid Adha!-
Dari Seluruh Pimpinan ABIMPP

Thursday, December 4, 2008

BELIA ISLAM MESTI BERANI BERKORBAN

Buat sekalian kalinya, Hari Raya Haji atau sambutan ‘Aidil Adha akan disambut di seluruh dunia Islam. Pelbagai aktiviti mengisi erti ‘pengorbanan’ telah diatur dengan rapi oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, masjid dan surau, jawatankuasa qariyah, badan-badan bukan kerajaan hinggalah ke ceruk-ceruk kampung seluruh tanahair, semuanya bersedia dengan aktiviti penyembelihan dan pengagihan daging haiwan qurban, ceramah-ceramah agama, doa selamat dan kenduri kesyukuran. Sambutan meriah seperti ini tidak dinafikan, amat perlu dipergiat dan disyiarkan sebagai amalan kita mengimani perintah Allah S.W.T., namun perkara yang sama penting dan kita mungkin kerap terlepas pandang adalah usaha memahamkan umat Islam, khususnya golongan belia terhadap kefahaman dan motivasi dalam merubah diri dan komunitinya.

Sambutan yang juga dinamakan ‘Hari Raya Qurban’ ini juga sering dilihat dalam skop yang terbatas dalam ruang lingkup satu perayaan, ritual dan satu acara sambutan dalam kalendar tahunan umat Islam semata-mata. Mungkin disebabkan sistem yang ada hanya menekan kepada menyambut hari raya qurban, dan bukannya merayakan dan menjiwai ‘budaya berkorban’. Qurban dalam bahasa Arabnya yang berasal dari kata akar Qaruba membawa maksud ‘telah dekat’ atau simbolik kepada satu tanda pengorbanan harta benda, jasad dan jiwa ke arah mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Sirah banyak sekali mengajar kita akan erti pengorbanan yang bermatlamatkan meraih redha Allah S.W.T.. Dari kisah terawal kewujudan manusia, di mana dua orang putera Nabi Adam a.s., iaitu Habil & Qabil telah diminta memberi korban tanaman dan ternakan yang terbaik kepada Allah S.W.T., kemudian diikuti dengan kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup menyerahkan anak kesayangan baginda iaitu Nabi Ismail a.s. sebagai korban kepada Tuhan yang kemudiannya digantikan oleh Allah S.W.T. dengan seekor kibas, hinggalah kepada kisah keberanian Saidina Ali k.w.h. tidur di tempat Nabi Muhammad S.A.W. di kala baginda dikepung musuh-musuh Islam. Apakah intipati besar daripada pengajaran sejarah silam ini? Jelas, betapa orang muda, golongan belia Islam amat dituntut agar berani dan tidak sekali-kali gentar untuk berkorban.

Martabat pengorbanan di sisi Islam adalah tidak ternilai. Sehinggakan Allah S.W.T. berfirman di dalam Surah at-Taubah, ayat 111 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka”. Apa yang dimaksudkan dengan ‘membeli’ dari orang-orang Mukmin itu adalah perkataan simbolik yang menyatakan betapa Allah S.W.T. akan menukarkan apa saja pengorbanan harta, wang ringgit, tenaga dan masa orang-orang Mukmin dengan membalasnya dengan ganjaran Syurga. Ini adalah isyarat besar, bahawa budaya berkorban tidak bermusim sifatnya, tidak terhad kepada ritual penyembelihan haiwan qurban semata-mata, bahkan ia adalah satu ‘perniagaan akhirat’ yang memberi pulangan yang amat menguntungkan.

Belia & Semangat Qurban

Semangat dan motivasi terbesar yang wajar diwar-warkan di kalangan belia Islam adalah budaya untuk selalu memberikan yang terbaik dari apa yang ada pada setiap diri. Agama hanya akan bangkit andai kita memberikan yang terbaik untuknya, sehinggakan timbul pesanan seorang pemikir Islam yang mengatakan “Jika kita berikan separuh masa kita pada agama, maka lahirlah Islam itu jenis Islam Separuh (half-time Islam) berbanding dengan jika kita memberikan masa yang terbaik untuk agama, maka lahirlah Islam Sepenuh Masa (full-time Islam)”. Semangat kedua yang wajar diserap oleh generasi muda hari ini adalah perasaan belas kasihan sesama saudara Islam. Peristiwa qurban mengajar kita menyelami penderitaan saudara seagama kita di seantero dunia yang berdepan dengan ancaman kemiskinan dan kebuluran, belum lagi ditambah dengan ancaman peperangan dan kematian. Ini semua perlu menjadikan hati kita terkesan, kerana setiap muslim itu bersaudara dan atas dasar itu, setiap susah senang harus kita hadapi bersama-sama.

Pengorbanan menuntut kita agar berani meninggalkan zon selesa atau ‘comfort zone’ kita selama ini yang sarat dengan segala kemanisan, kemewahan dan perhiasan dunia yang melalaikan. Ini adalah tembok pertama yang perlu bagi setiap belia Islam rempuh untuk berjaya menjiwai semangat pengorbanan. Budaya bersantai, bersuka-suka dan berhibur dengan sewenang-wenangnya wajar ditamatkan segera. Apakah ertinya anak-anak muda kita hari ini hebat bersorak tapi bukan setakat kampung tergadai, bahkan yang kita khuatir, maruah diri pun terkorban sama dek kelalaian menurut runtunan nafsu.

Cabaran kedua untuk meletakkan perasaan berani untuk berkorban ke dalam dada generasi muda Islam adalah dengan memahamkan mereka betapa Islam amat menghargai sumbangan orang muda, kerana pada usia inilah tenaganya terhebat, komitmennya paling tinggi serta keazamannya luar biasa memuncak. Harapan untuk mempersiap golongan belia yang berani dan mampu meneraju kepimpinan negara akan datang tergambar dalam kata-kata pakar Sains Ketamadunan tersohor Islam, Ibnu Khaldun dengan katanya “Jika kita mahu melihat pemimpin akan datang, lihatlah kepada generasi hari ini”.

Agenda mempersiap belia Islam yang berani berkorban ke arah perubahan bukannya mudah. Untuk menganjak pemikiran dan sumbangan belia kita yang selama ini berorientasikan materi semata-mata wajar diangkat dan diberi makna baru. Matlamat menyumbang untuk mencapai pulangan berbentuk habuan kewangan dan pengiktirafan perlu dikikis dan diganti dengan budaya menyumbang untuk mencapai balasan yang bersifat maknawi. Sumbangan dan pengorbanan yang terbaik adalah dengan mengharapkan keredhaan Allah S.W.T. dan bukannya keredhaan manusia sahaja. Untuk memecahkan sentimen menyumbang yang hanya mengharap kepada pulangan materi ini memerlukan usaha gigih semua pihak. Kuncinya adalah dengan menyemai semangat ikhlas sejak kecil demi memudahkan misi ini.

Usaha besar-besaran perlu digembling segera demi memenuhi hasrat mempersiap generasi belia Islam yang berani. Belia Islam yang berani dan berkualiti ini amat diperlukan untuk menjayakan misi pembinaan modal insan negara, misi menangani masalah sosial, misi membebaskan keluarga dari belenggu kemiskinan dan pelbagai lagi agenda mengangkat nilai umat tercinta ini. Kita mahu melahirkan belia yang berani berkorban untuk agama dan bangsa, dan bukannya belia yang terkorban oleh tuntutan nafsunya sendiri. Kita juga mahukan belia kita terkorban di medan mempertahankan maruah agama, dan bukannya belia yang terkorban di lorong-lorong ganja, jalan-jalan raya dan lembah-lembah maksiat.

Akhir sekali, kesempatan Aidil Adha kali ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita untuk memacu momentum belia Islam untuk terus berada di barisan hadapan dalam agenda menyumbang untuk mengangkat martabat agama dan bangsa. Generasi belia Islam inilah yang diungkapkan di dalam al-Qur’an sebagai generasi al-Qawiyyul Amin, generasi yang punya upaya dan wibawa.


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha ABIM Pulau Pinang

Tuesday, December 2, 2008

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI (SEBARKAN!)

Kepada : Kementerian Pelajaran Malaysia


PETISYEN MEMBANTAH PPSMI

Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.

PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Kami warga Malaysia, yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan kepada peranan Bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa imu dan pendidikan, yang terus berlaku di Malaysia.

Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan bahasa melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.

Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunakpakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Dalam pada itu, pelaksanaan dasar Pengajaran Sains dan Matemaik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara. Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Menurut Seksyen 2, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan— (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini”

Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.
Untuk memastikan agar kedudukan bahasa Melayu terjamin dalam negara ini dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia :
• Mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di semua sekolah rendah kebangsaan dan menengah.
• Memelihara bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan kaum.
• Menghormati dan menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang yang ada yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan.

• Mengekalkan dasar-dasar negara yang menjamin kedaulatan bahasa melayu yang diwarisi oleh generasi pemimpin terdahulu.

Kami, dengan ikhlas dan tegas, dan penuh rasa tanggungjawab percaya bahawa kemajuan negara akan tetap tecapai walaupun kita mengekalkan bahasa, budaya dan jatidiri kita yang tulin. Perlu disedari bahawa bahasa merupakan jiwa dan cerminan kepada bangsa dan jika tidak dipertahankan akan hilanglah jatidiri bangsa kita sebagai Melayu dan Islam.

Muhamad Faisal Abdul Aziz
Pengerusi,
Gerakan Anti PPSMI (GAP)
Alamat Perhubungan :

Sekretariat PKPIM Pusat,
Kompleks Anjung Rahmat,
Batu 6, Jalan Gombak,
53100 Kuala Lumpur.
Tel : 03-61879520
Faks : 03-61842570
Email : spp@pkpim.net spp_pkpim@yahoo.com

Google+ Followers

Popular Posts


SYARAT : TERBUKA UNTUK BELIA UMUR 15-40 TAHUN | TINGGAL DI P. PINANG | BERMINAT | BERDEDIKASI & BERKEYAKINAN :: KELEBIHAN KELAB : LATIHAN, BIMBINGAN, SIJIL & VEST PETUGAS AKAN DIBERI SECARA PERCUMA :: BERMINAT ? SILA HUBUNGI PENYELARAS AV, SDR. ZAYD 013-408 7001