Facebook

"Kamu tidak akan dpt m'capai (hakikat) kbajikan & kbaktian (yg sempurna) sblm kamu dermakan sbahagian dari apa yg kamu sayang"(Q 3:92)

Thursday, October 30, 2008

ILMU ASAS KEKUATAN UMMAH

Oleh : Abu Qisth*
Lebih enam dekad yang lalu, Jepun telah menjadi padang jarak padang tekukur, gara-gara “little boy” dan “fat man” yang telah digugurkan oleh pihak tentera Amerika Syarikat. Tragedi ini tersemat di hati semua pencinta keamanan tentang betapa tingginya harga kedamaian dan keharmonian yang perlu dibayar akibat peperangan. Mungkin Amerika Syarikat telah menghancurkan Jepun dari aspek material. Tetapi ledakan “little boy” dan “fat man” tidak dapat membunuh semangat serta budaya keilmuan yang telah membenih di jiwa masyarakat Jepun sejak dinasti Maharaja Meiji. Kini rakyat Jepun telah bangkit membebaskan minda mereka dari diselubungi sejarah hitam yang telah mereka lalui.

Budaya ilmu telah menjadikan negara Jepun maju hanya dalam masa lebih kurang 50 tahun selepas berlakunya tragedi pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki. Jepun kini menjadi antara gergasi ekonomi dunia terutamanya di Asia. Budaya keilmuan juga telah menganjak paradigma masyarakat Jepun untuk menerokai bidang Sains dan Teknologi merentas pelbagai bidang merangkumi elektronik, permotoran, industri, optik, semikonduktor, besi, kimia, robotik dan mesin. Tidak hairanlah kini Jepun merupakan antara negara yang sangat dihormati dan disegani.

Dalam konteks Malaysia, tradisi keilmuan masih tidak membudaya di kalangan masyarakat. Malah di menara gading pun, menurut Prof Dr. Zaini Ujang, selaku Naib Canselor UTM (dilantik pada Oktober 2008), personaliti yang mempunyai kaitan dengan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu juga semakin tidak menyerlah.

Apabila pengijazahan telah dijadikan sebagai fokus universiti maka hampir semua program kampus berorientasi dan dinilai secara akademik, termasuk berpersatuan, bermasyarakat dan bersukan. Dalam keadaan sedemikian, nilai kesukarelaan dan komitmen sosial yang menjadi satu asas penting pembangunan minda kelas pertama menjadi semakin tidak relevan.

Sebab itu, tidak ramai mahasiswa hari ini mampu tampil menjadi juru bicara ummah dalam konteks mengartikulasi sesuatu permasalahan secara intelektual. Ironinya ada sesetengah mahasiswa yang mengambil pendekatan untuk cepat popular dengan hanya mencedok sesuatu idea tanpa asas keilmuan dan terus memomokkannya tanpa mengetahui sesuatu isu itu secara tuntas dan mendalam. Senario yang tidak sihat ini sebenarnya boleh mendedahkan generasi muda kepada manipulasi pihak berkepentingan serta mudah juga diperkotak- katikkan.

Penemuan hasil dari Laporan Profil Membaca Rakyat Malaysia tahun 2005 menunjukkan bahawa membaca bukanlah aktiviti kegemaran masyarakat berbanding menonton televisyen di waktu lapang. Jika dilihat dalam konteks bahawa membaca merupakan suatu juzuk terpenting dalam budaya ilmu, maka penemuan ini bukanlah suatu cerminan yang positif terhadap budaya keilmuan di Malaysia.

Sejarah telah membuktikan bagaimana sesuatu bangsa itu dimartabatkan dengan ilmu. Bangsa jahiliyyah di Makkah misalnya, merupakan suatu bangsa barbarian yang lemah minda serta rendah moralnya. Tetapi apabila misi pencerahan telah dilakukan oleh baginda Muhammad SAW menerusi semangat Iqra’ serta asas nilai Rabbani, maka masyarakat jahiliyyah telah pun mengalami tranformasi spiritual serta moral yang hebat sehinggakan di iktiraf oleh Allah SWT sebagai ummah terbaik.

Demi mencapai pembangunan yang bakal menjamin kebahagiaan dunia mahupun akhirat, budaya ilmu perlu dipugar di segenap lapisan masyarakat agar mereka menjadi lebih beradab, terpelajar serta mampu berperanan untuk kemajuan negara.

Apabila ilmu dan adab telah dipinggirkan, manusia mula bercakaran untuk mencapai agenda tertentu. Kepentingan peribadi lebih diutamakan melebihi kepentingan umum. Manusia menjadi “opportunist”. Segala bentuk kepentingan dieksploitasi asalkan tuntutan nafsu dapat dipuaskan.

Justeru, budaya ilmu di Malaysia perlu diperkasakan di mana ilmu dihargai sebagai sifat dan nilai yang utama. Semua keputusan penting harus ditentukan berdasarkan wibawa ilmu dan hikmah, sementara kenyataan-kenyataan yang cuma berdasarkan sesuatu sentimen, agak-agak serta kepentingan tertentu perlulah dielakkan.

Dalam konteks Malaysia, usaha untuk memperkasa kompetensi bangsa serta membangunkan negara sehingga ke tahap kemajuan yang setaraf negara Jepun misalnya, memerlukan cara serta pendekatan tersendiri. Semangat keilmuan Jepun itu harus diseimbangkan bersam ethos keislaman yang telah menjadi asas keharmonian masyarakat Malaysia.

Apabila ilmu dan iman berpadu, manusia akan mula menghargai nilai jujur dan ikhlas. Di sinilah manusia akan memberi kebaikan serta manfaat kepada kehidupan dan alam. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib Al Atas, manusia yang baik bukan sekadar manusia yang berpengetahuan, berketrampilan serta faham tanggungjawab kewarganegaraan, malahan lebih penting dari itu ialah kekayaan nilai yang menjadikan manusia itu jujur, ikhlas, amanah, adil, bertolak ansur dan bijaksana. Sesungguhnya kekayaan nilai yang disemai dengan benih keilmuan merupakan asas kekuatan bangsa untuk menjadi masyarakat unggul serta terus berbakti dan berjasa kepada keharmonian negara.


*Penulis adalah Muhammad Izzuddin Syakir B. Ishak,
Mantan NYDP ABIM PP sesi 2005-2006

Monday, October 13, 2008

JEMPUTAN KE RUMAH MAHABBAH AIDILFITRI ABIMPP


Dijemput hadir beramai-ramai, memeriahkan suasana. Sebarang pertanyaan dan pengesahan kehadiran, bolehlah dibuat dengan menghubungi Saudara Syed Mikael Rizal Aidid (Setiausaha Negeri) di talian 013-4771047

MEMUGAR IDEALISME QUR'ANIY: KETELADANAN PEMUDA KAHFI


“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk. Dan Kami telah meneguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami telah menjadikan selain Dia tuhan-tuhan (untuk disembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?” Al-Kahfi :13-15


Pemuda Kahfi adalah sekumpulan pelaku sejarah yang mengabadikan keunggulan iman, kecerdasan akal, keberanian bersikap dan bertindak Mereka bangkit melepaskan diri daripada belenggu budaya dan tradisi pembodohan: penguatkuasaan dan pemaksaan amalan menyembah berhala, budaya warisan yang dipertahankan dengan setia tanpa dipersoalkan rasionalitinya, tanpa dipertanyakan kerelevanannya.

Fitrah insani yang masih dimiliki tujuh pemuda Kahfi itu tidak dapat menerima agama dan budaya yang tidak serasi dengan kesejatian sifat keinsanan yang memang tercipta dalam acuan tauhidik - kecenderungan fitri kepada penyembahan Tuhan Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna.

Akal sihat pemuda Kahfi tidak dapat menerima faham yang tidak rasional. Kemampuan dan keberanian berfikir kritis-evaluatif telah menghasilkan keberanian bersikap - menolak kesesatan yang telah begitu lama membudaya dan mencari alternatif yang benar dan meyakinkan.


• Fitrah insani yang masih dimiliki tujuh pemuda Kahfi itu tidak dapat menerima agama dan budaya yang tidak serasi dengan kesejatian sifat keinsanan yang memang tercipta dalam acuan tauhidik - kecenderungan fitri kepada penyembahan Tuhan Yang Maha Esa, Maha Berkuasa dan Maha Sempurna.


• Akal sihat pemuda Kahfi tidak dapat menerima faham yang tidak rasional. Kemampuan dan keberanian berfikir kritis-evaluatif telah menghasilkan keberanian bersikap - menolak kesesatan yang telah begitu lama membudaya dan mencari alternatif yang benar dan meyakinkan.


• Ketulusan mencari kebenaran mendapat perhatian dari langit. Pemuda Kahfi mengalami pencerahan hidayah, lalu menemukan hakikat tauhid, Tuhan yang hakiki hanyalah Allah, satu-satunya Pencipta, Pemilik dan Penguasa langit dan bumi seisinya.


• Deklarasi tauhid pemuda Kahfi segera dirasakan sebagai gugatan terhadap kemapanan dan kestabilan serta ancaman terhadap pihak-pihak yang berkepentingan. Raja yang selama ini ikut di”berhala”kan bertindak memberikan kata dua: rujuk ke tradisi datuk nenek, atau hadapi tindakan brutal pihak penguasa.


• Berani bersikap, harus berani menghadapi risikonya. Demikianlah iman tulen pemuda Kahfi yang mendapat pengakuan dari langit,”…sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk buat mereka.” Pengakuan Ilahi tersebut sekaligus mengungkapkan hakikat hubungan erat iman dengan petunjuk; semakin menguatnya iman, semakin bertambah kebenaran yang menyerlah, termasuk petunjuk Ilahi tentang bagaimana mengurus diri di tengah kemelut pertentangan yang mereka alami.


• Demi iman dan kebenaran, pemuda Kahfi bersumpah setia mempertahankan pendirian tauhidik dan berusaha menghindari tindakan teror penguasa dengan bersembunyi di gua. Mereka menghilangkan diri, tetapi deklarasi tauhid mereka tidak ikut menghilang kerana ia tinggal di tengah umat sebagai benih kesedaran.


Dato' Dr. Siddiq Fadzil, Kolej Dar al-Hikmah.

ABIM : 3 DASAWARSA DI LAPANGAN UMAT

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hasil beberapa pertemuan generasi pengasas ketika itu. Pengerusi penaja rasmi ketika itu ialah Ustaz Abdul Wahab Zakaria dan Fauzi Abd. Rahman (sekarang Dato’) sebagai Setiausaha Agung. ABIM merupakan sebuah badan bukan kerajaan Islam yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 17 Ogos 1972 di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Muktamar ABIM yang pertama telah diadakan pada tahun 1972 di mana Ustaz Razali Nawawi (sekarang Profesor Dr) telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang pertama manakala Anwar Ibrahim (sekarang Dato’ Seri) dipilih sebagai Setiausaha Agung. Pada tahun 1974 Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Presiden ABIM yang kedua. Ustaz Siddiq Fadzil (sekarang Dato’ Dr) pula telah dilantik untuk memangku dan seterusnya menjadi Presiden ABIM selepas penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982. Ustaz Muhammad Nur Manuty (sekarang Dr) telah dilantik sebagai Presiden pada tahun 1991. Pada September 1997, Ahmad Azam Abdul Rahman telah dipilih sebagai Presiden ABIM yang kelima di Muktamar Sanawi ABIM ke-26 di Alor Setar, Kedah. Dan kemudiannya Yusry Mohammad sehinggalah hari ini.

Dalam era 1970-an, semasa ABIM berada di bawah kepimpinan Ustaz Razali Nawawi dan Anwar Ibrahim, ABIM mengambil pendekatan konfrontasi dan dengan demikian, ABIM menjadi lantang terhadap beberapa dasar dan pendirian pihak pemerintah. Pendekatan ini dirasakan sesuai dengan tuntutan dan keperluan era itu. Pada dekad kedua, di tahun-tahun 1980-an, ketika kepimpinan Ustaz Siddiq Fadzil, pendekatan ABIM ditandai oleh perubahan orientasi ke arah pendekatan menangani dan menyelesaikan masalah (problem-solving). Pendekatan ini melahirkan banyak institusi dan agensi ABIM seperti Islamic Outreach-ABIM dan seumpamanya. Ketika dekad ketiga 1990-an pula, ABIM yang berada di bawah kepimpinan Ustaz Muhammad Nur Manuty berperanan lebih proaktif sebagai rakan dalam pembinaan negara (partner in nation-building).

Di alaf baru, Ahmad Azam Abdul Rahman membawa tema pemugaran semula idealisme untuk menggilap semula dinamika perjuangan serta agenda pemersatu ummah. Kini di era Saudara Yusry Mohammad, ABIM terus menjadi jurubicara umat menerusi prinsip 3P (Pendidik-Pembela-Prihatin) agar umat seluruhnya terpelihara iman, nyawa, harta, maruah, kebebasan, hak dan keselamatan mereka. ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. Walaupun ABIM menangani isu-isu politik, namun ia sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.


Sunday, October 12, 2008

JEMPUTAN KE RUMAH TERBUKA AIDILFITRI ABIMPP


Hubungi SU Negeri di talian 013-4771047 untuk keterangan lanjut

Google+ Followers

Popular Posts


SYARAT : TERBUKA UNTUK BELIA UMUR 15-40 TAHUN | TINGGAL DI P. PINANG | BERMINAT | BERDEDIKASI & BERKEYAKINAN :: KELEBIHAN KELAB : LATIHAN, BIMBINGAN, SIJIL & VEST PETUGAS AKAN DIBERI SECARA PERCUMA :: BERMINAT ? SILA HUBUNGI PENYELARAS AV, SDR. ZAYD 013-408 7001